GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Penjawat awam kerugian RM6,000 selepas menjadi mangsa penipuan lelaki yang menyamar sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 23 tahun menerima panggilan daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan LHDN Cyberjaya.

Katanya, mangsa dimaklumkan dia mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM58,500. 82 yang perlu dijelaskan sebelum jam 4 petang.

"Mangsa memaklumkan dia tidak mempunyai sebarang tunggakan cukai namun suspek memberitahu nombor MyKad mangsa didaftarkan atas sebuah syarikat di Kota Bahru, Kelantan.

"Suspek turut bertanya bank yang digunakan mangsa selain meminta mangsa menyerahkan nama dan kata laluan serta nombor kod kebenaran transaksi (TAC)," katanya hari ini.

Hoo berkata, mangsa menyedari ditipu selepas suspek memintanya menukar nama dan kata laluan. "Mangsa yang membuat semakan dalam talian mendapati wang berkurangan RM6,000," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa terpedaya dengan panggilan itu dan menyerahkan akses perbankan Internet akaun bank miliknya kepada suspek.

"Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Seri Jempol dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 10:31 AM