PENUNJUK perasaan pro-Palestin di Universiti Columbia. FOTO AFP
PENUNJUK perasaan pro-Palestin di Universiti Columbia. FOTO AFP
AFP

New York: Penuntut Universiti Columbia yang terbabit dalam protes pro-Palestin digantung pengajian selepas ingkar arahan untuk bersurai, pada Isnin.

Pihak berkuasa di universiti berprestij di New York, Amerika Syarikat (AS), menuntut supaya protes itu dihentikan sebelum jam 2 petang atau pelajar akan menghadapi tindakan tatatertib.

"Taktik menakutkan yang menjijikkan ini tidak bermakna jika dibandingkan dengan kematian lebih 34,000 rakyat Palestin," kata satu kenyataan, yang dibacakan oleh seorang penuntut pada sidang media selepas tarikh akhir yang ditetapkan universiti supaya penuntut bersurai.

"Kami tidak akan berganjak sehingga Universiti Columbia memenuhi tuntutan kami atau... digerakkan secara paksa," kata penuntut yang enggan mendedahkan namanya.

Beberapa jam kemudian, Naib Presiden Komunikasi Universiti Columbia, Ben Chang berkata, universiti itu mula menggantung pengajian penuntut terbabit sebagai langkah untuk memastikan keselamatan di kampus.

Menurut Chang, penuntut terbabit diberi amaran mereka akan digantung pengajian, tidak layak untuk menamatkan semester atau siswazah, dan akan dihadkan daripada semua ruang akademik, kediaman dan rekreasi.

Sementara itu, di Universiti Texas di Austin, polis bertempur dengan penunjuk perasaan dan membuat tangkapan, selepas 250 orang ditangkap di seluruh AS, berhubung protes sama, hujung minggu lalu.

"Tiada perhimpunan akan dibenarkan. Sebaliknya, tangkapan sedang dibuat," kata Gabenor Texas, Greg Abbott di media sosial petang Isnin.

Bantahan itu terhadap perang Gaza. Ia menjadi cabaran kepada pentadbir universiti yang cuba mengimbangi hak kebebasan bersuara dengan aduan bahawa perhimpunan itu berubah menjadi anti-Semitisme dan kebencian.

Selama hampir dua minggu, gelombang protes terhadap perang Israel di Gaza melanda kampus universiti di AS dan kira-kira 100 penunjuk perasaan ditangkap di Universiti Columbia pada 18 April.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 1:34 PM