MI kuning yang dirampas dari sebuah premis di Seremban, hari ini. FOTO ihsan KPDNHEP Negeri Sembilan.
MI kuning yang dirampas dari sebuah premis di Seremban, hari ini. FOTO ihsan KPDNHEP Negeri Sembilan.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Sebuah premis mengeluarkan makanan mi kuning dan kuetiau di Taman Industri Ringan di sini, diserbu pihak berkuasa, hari ini, selepas disyaki menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tanpa kebenaran.

Malah, Sijil Pengesahan Halal bagi produk dihasilkan di premis terbabit didapati tamat tempoh pada 2016.

Penemuan itu hasil operasi penguatkuasaan dijalankan lima pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan bersama-sama empat pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Pengarah KPDNHEP negeri, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, tindakan itu diambil hasil pemantauan dibuat pihaknya dan penguat kuasa JHEAINS selama seminggu.

Beliau berkata, pemilik premis terbabit didapati menggunakan logo halal Jakim pada produk makanan dikeluarkan tanpa mendapat perakuan halal sah daripada pihak JHEAINS.

"Hasil siasatan dan pemeriksaan dijalankan mendapati sijil halal bagi produk dihasilkan di premis itu tamat tempoh pada 2016 lagi.

"Perniagaan itu mula beroperasi pada 2013 dan dimiliki seorang warga negara tempatan.

"Sehubungan itu, satu tindakan kes diambil atas kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011," katanya, hari ini.

Beliau berkata, sitaan berjumlah RM50 dilakukan membabitkan 33 bungkus mi dan dua gulung plastik pembungkus yang mempunyai logo halal.

Sehubungan itu, pihaknya mengingatkan semua peniaga supaya tidak menggunakan logo halal Jakim sekiranya tidak mendapat sijil halal sah daripada pihak berkuasa berwibawa yang bertanggungjawab iaitu JHEAINS.

Sebarang aduan boleh disalurkan melalui beberapa saluran iaitu e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my).

Selain itu, talian bebas 1 800 886 800, emel [email protected] atau Ez ADU KPDNHEP (aplikasi telefon pintar) serta Pusat Arahan Penguatkuasaan 03 8882 6088/6245 dan WhatsApp 019 2794317.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 4:47 PM