KPDNHEP dan JHEAINS menyerbu kilang biskut dan roti yang menggunakan logo halal yang sudah ditarik balik. FOTO Ihsan JHEAINS.
KPDNHEP dan JHEAINS menyerbu kilang biskut dan roti yang menggunakan logo halal yang sudah ditarik balik. FOTO Ihsan JHEAINS.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Tindakan pemilik perusahaan membuat biskut dan roti terus menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang sudah ditarik balik, mengundang padah apabila diserbu pihak berkuasa semalam.

Premis beroperasi di Senawang di sini, diserbu sembilan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) susulan pemantauan yang dilaksana selama seminggu.

Menurut Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman, siasatan mendapati premis itu menggunakan logo halal Jakim pada produk makanan mereka tanpa perakuan halal yang sah daripada JHEAINS.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sijil pengesahan halal untuk produk yang dimiliki perniagaan ini telah digantung pada 23 September tahun lalu dan seterusnya telah ditarik oleh JHEAINS pada 12 Oktober 2020," katanya di sini, hari ini.

Ain Arjuna berkata, sebanyak 687 paket produk makanan keluaran syarikat disyaki menggunakan logo halal tanpa sah dan barangan bernilai RM834.80 itu disita mengikut Perkara 8 (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 Akta Perihal Dagangan 2011.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000 bagi perbadanan, manakala individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun, dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya," katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan ditetapkan dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan logo halal tanpa perakuan yang sah.

Pihaknya akan terus melakukan penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan tidak bertanggungjawab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 10:41 AM