Mohd Zaidi menunjukkan berus dipercayai diperbuat dari bulu babi yang dirampas dari sebuah restoran hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Zaidi menunjukkan berus dipercayai diperbuat dari bulu babi yang dirampas dari sebuah restoran hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim


BERUS disyaki diperbuat dari bulu babi digunakan untuk menyapu minyak pada ayam.

Perbuatan itu terbongkar selepas penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) melakukan kunjungan ke sebuah restoran di Senawang hari ini.

Dalam kunjungan Ziarah Halal selama dua jam bermula 9 pagi itu, 11 premis makanan di Senawang dan Seremban 2 diperiksa JHEAINS.

Program itu turut mendapat kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP); Jabatan Kesihatan, Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); pihak berkuasa tempatan (PBT) serta badan bukan kerajaan (NGO).

Pengarah JHEAINS, Mohd Zaidi Ramli berkata, Ziarah Halal itu diadakan bertujuan memastikan pengusaha premis menggunakan produk dan bahan halal dalam masakan selain peralatan yang halal serta premis bersih.

“Kunjungan di salah sebuah premis makanan mendapati pengusaha menggunakan berus disyaki bulu babi untuk menyapu minyak pada ayam dalam penyediaan makanan barat.

“Pengusaha premis itu mendakwa tidak tahu berus digunakan adalah tidak halal. Oleh itu, kita memberinya teguran supaya memastikan peralatan digunakan tidak diragui,” katanya pada sidang media di Seremban hari ini.

Selain itu, Mohd Zaidi berkata, pihaknya turut menemui pengusaha yang menggunakan produk makanan seperti cuka dan sos dari luar negara yang tidak mempunyai perakuan halal dari negara pengeluar.

“Kebanyakan pengusaha hanya peka terhadap bahan mentah halal tanpa menitik berat mengenai penggunaan produk lain dalam masakan dan peralatan digunakan.

“Disebabkan itu kita adakan kunjungan ini untuk memastikan buka saja bahan mentah digunakan halal tetapi peralatan juga perlu halal,” katanya.

Beliau berkata, kunjungan itu juga bertujuan menggalakkan pengusaha premis di negeri itu ada sijil halal menjelang 2023.

“Ramai enggan membuat permohonan dengan alasan susah dan mengambil masa lama tetapi sebenarnya permohonan boleh dibuat dalam talian dan siap dalam tempoh 30 hari jika tiada masalah,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya sijil halal, premis terbabit akan dipantau secara berkala sekali gus dapat menjamin status makanan dan kebersihan.

Untuk rekod, 24 hotel di negeri itu ada sijil halal, premis makanan (14), hospital (tujuh) dan syarikat katering (tiga).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 3:32 PM