Asrol Awang


Kuantan: Seramai 58 kanak-kanak mengalami kesan sampingan akibat vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) sejak 3 Februari lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, daripada jumlah itu, 57 kanak-kanak mengalami kesan sampingan ringan seperti demam, bengkak dan lenguh.

Katanya, manakala seorang lagi kanak-kanak pula mengalami kesan kepenatan kerana mempunyai penyakit asma dan pernah masuk ke hospital beberapa kali.

"Bagaimanapun, keadaan kanak-kanak terbabit sembuh selepas lima hari mendapatkan rawatan," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Wira, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sikap tunggu dan lihat dalam kalangan ibu bapa mengenai suntikan vaksin menyebabkan peratusan kanak-kanak tidak mencapai jumlah yang disasarkan.

Katanya, mereka bimbang dengan kesan sampingan yang akan berlaku kepada anak masing-masing.

"Sikap itu melambatkan jumlah kanak-kanak yang sepatutnya menerima suntikan vaksin dalam usaha menyekat penularan wabak Covid-19.

"Sebaiknya jangan dengar maklumat tidak sahih berkaitan vaksin kerana ia bertujuan untuk melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti.

"Kita harap ibu bapa dapat tampil untuk memberikan kebenaran kerana kebanyakan kesan sampingan adalah ringan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, setakat ini, 708,187 kanak-kanak atau 19.6 peratus sudah mendapatkan vaksin dan paling ramai di Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang.

"Bagaimanapun, tiga negeri iaitu Sabah, Terengganu dan Kelantan merekodkan bawah 10 peratus yang menerima vaksin," katanya.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 1:21 PM