Oleh Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 57 kes kesan mudarat berikutan imunisasi (AEFI) bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang mendapatkan suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) setakat ini.

Bagaimanapun, 56 kes berada dalam kategori tidak serius manakala satu kes serius membabitkan kanak-kanak yang mempunyai sejarah penyakit asma namun sembuh sepenuhnya selepas menerima rawatan di hospital.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kesan yang dilaporkan antaranya demam, sakit otot dan lenguh di tempat suntikan yang ia memang sering berlaku selepas divaksinasi.

"Ini adalah gejala ringan yang biasanya akan hilang sepenuhnya selepas satu atau dua hari.

"KKM sentiasa memantau rapat berhubung kes AEFI dan menasihati ibu bapa supaya mengawasi anak yang menerima suntikan tidak terus membuat aktiviti lasak serta segera melaporkan di aplikasi MySejahtera jika mempunyai kesan selepas menerima vaksin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau perjalanan PICKids di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah, di sini, hari ini.

Sehingga kini, seramai 564,220 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 dan jumlah itu akan meningkat dari semasa ke semasa.

Mengulas lanjut mengenai prestasi PICKids, Dr Noor Azmi berkata, Sarawak negeri yang mendahului kadar penerimaan vaksinasi kanak-kanak diikuti Melaka, Lembah Kelang, Perak dan Pulau Pinang dengan merekodkan jumlah peratusan antara 20 hingga 30 peratus.

Namun katanya, tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Sabah kadar vaksinasi masih rendah iaitu bawah 10 peratus yang usaha untuk meyakinkan ibu bapa di sana giat dijalankan.

"Antara punca yang kita dapat lihat kebanyakan ibu bapa masih ragu-ragu serta mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

"Namun, kita nasihatkan supaya mereka tidak berlengah lagi demi keselamatan anak-anak kerana tujuan kita memberi vaksin adalah demi menyelamatkan nyawa dan mengurangkan risiko untuk dimasukkan ke hospital.

"Ini kerana melalui rekod sepanjang Julai hingga Disember tahun lalu didapati 278,000 kanak-kanak dijangkiti Covid-18 dengan 63 kematian direkodkan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi berkata, KKM juga giat dalam memberi penerangan terperinci kepada ibu bapa berhubung manfaat suntikan vaksin bagi melindungi kanak-kanak.

"Kita memang jemput pakar kanak-kanak untuk tampil memberi penerangan di stesen televisyen dan media sosial termasuk mengadakan sesi webinar serta libat urus dengan beberapa jabatan berkaitan supaya ibu bapa lebih jelas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 4:38 PM
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Nooor Azmi Ghazali (kanan) menunjukkan picagari yang telah kosong kepada Azah Zainul, 41, (kiri) selepas memberikan suntikan vaksin kepada adik Nur Adib Darwisy Nordin, 12, ketika lawatan sempena Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah di sini. FOTO DANIAL SAAD
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Nooor Azmi Ghazali (kanan) menunjukkan picagari yang telah kosong kepada Azah Zainul, 41, (kiri) selepas memberikan suntikan vaksin kepada adik Nur Adib Darwisy Nordin, 12, ketika lawatan sempena Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah di sini. FOTO DANIAL SAAD