Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Wilayah Persekutuan akan menilai kajian berhubung pelaksanaan had laju 30 dan 50 kilometer sejam (km/j) dalam zon terpilih sekitar ibu negara demi kepentingan semua pihak.

Menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, cadangan mengenai perkara itu masih dalam peringkat kajian dan hasilnya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurutnya, pelbagai pandangan diambil kira bagi mengenal pasti kebaikan dan keburukan pelaksanaannya supaya memberi manfaat kepada semua.

"Kita tahu banyak benda yang kita buat ada setuju dan ada tidak bersetuju. Kita melihat lebih kepada kesesuaian serta penerimaan semua pihak.

"Kita terima semua pandangan berhubung perkara ini dan kita ambil kira semuanya. Apa yang penting matlamat tercapai dan rakyat gembira," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Media pada 8 Januari lalu memetik Pengerusi Lembaga Pengarah Miros, Datuk Suret Singh melalui Twitternya, memaklumkan institut itu dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bekerjasama bagi melaksanakan had laju 30km/j di zon terpilih di ibu negara dan 50km/j bagi zon lain.

Miros mencadangkan had laju 30km/j bagi kawasan perumahan, bandar dan kampung sebagai sebahagian daripada perancangan keselamatan jalan raya kebangsaan untuk 2021 hingga 2030.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Ditanya mengenai terdapat syarikat dan sektor kerajaan yang dikatakan beroperasi pada hari ini walaupun diumumkan sebagai cuti ganti Hari Wilayah, Shahidan berkata, tiada halangan untuk mereka beroperasi.

"Disebabkan cuti Hari Wilayah bersekali cuti Tahun Baharu Cina selama dua hari, jadi kita beri tambahan cuti.

"Kalau ada mana-mana pihak ingin teruskan aktiviti mereka, tiada masalah cuma kemudahan (cuti ganti) kita unjurkan kepada semua pihak," katanya.

Mengenai kempen kibar bendera Wilayah Persekutuan, beliau berkata, sebanyak 100,000 bendera diedarkan membabitkan 71,000 bendera di Kuala Lumpur, 15,530 di Putrajaya dan 18,000 di Labuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 2:10 PM