Wee Ka Siong (dua dari kanan) mengagihkan baju hujan kepada penunggang motosikal di sekitar Ayer Hitam, semasa program Keselamatan Jalan Raya MIROS Ayer Hitam hari ini. FOTO BERNAMA
Wee Ka Siong (dua dari kanan) mengagihkan baju hujan kepada penunggang motosikal di sekitar Ayer Hitam, semasa program Keselamatan Jalan Raya MIROS Ayer Hitam hari ini. FOTO BERNAMA
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengambil langkah secara holistik dan mendalam susulan cadangan menetapkan had laju 30 kilometer sejam (km/j) di zon terpilih di ibu negara dan 50 km/j bagi zon lain.

Menterinya Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, MOT bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menerima dan mendengar cadangan serta memperhalusi kewajaran perkara berkenaan bagaimana ia dapat dilakukan.

"Sebagai contoh kawasan geografi atau tempat tinggal kita bukan lah daripada kawasan yang terancang, kiri dan kanan pun adalah jalan utama.

"Kalau kelajuan terlalu rendah di jalan utama ia juga akan memberi kesan kepada pengguna jalan raya," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya di sini, hari ini.

Wee berkata, pihaknya berpendapat jika mahu menyekat atau menghindar sesuatu kemalangan ia perlu dilihat secara holistik dan had laju bukannya punca utama kemalangan jalan raya.

"Had laju bukanlah faktor kemalangan semata-mata kerana terdapat faktor lain yang turut menyumbangkan kepada kemalangan di dalam negara.

"Penguatkuasaan undang-undang sahaja bukan langkah penyelesaian terbaik dan mesti ada kesedaran diri daripada pengguna jalan raya itu sendiri serta mengamalkan sikap disiplin mematuhi peraturan jalan raya," katanya.

Ditanya mengenai persediaan menghadapi pilihan raya, beliau berkata, MCA belum berbincang mengenai kerusi yang bakal dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor jika dilaksanakan dalam waktu terdekat.

Beliau yang juga Presiden MCA berkata, keputusan itu belum dibuat kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor belum dibubar.

"Kini dewan masih lagi berfungsi, jadi sebagai satu tradisi ia tidak akan dibincangkan selagi dewan belum dibubarkan dan setakat ini MCA kena berpandukan kepada hakiki apa yang berlaku.

"Bagaimanapun, MCA sentiasa bersiap siaga menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan PRU Johor.

"MCA juga sudah mempunyai jawatankuasa dan memulakan kerja bagi memantapkan jentera yang ada menjelang pilihan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 4:40 PM