Sebahagian 27 tual pelbagai spesies balak yang cuba dipindahkan tanpa permit di Hutan Simpan Lakum. FOTO Mohd Rafi Mamat
Sebahagian 27 tual pelbagai spesies balak yang cuba dipindahkan tanpa permit di Hutan Simpan Lakum. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Bentong: Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP) menggagalkan cubaan memindahkan 27 tual balak bersaiz 2.4 meter panjang tanpa permit di Hutan Simpan Lakum, di sini, semalam.

Serbuan dilakukan anggota Unit Penguat kuasa Pahang Barat dibantu Pejabat Hutan Daerah (PHD) Temerloh dan PHD Bentong selepas menerima aduan kegiatan menceroboh Kompartmen 11 HSK itu.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JPNP Nor Azirim Ahmad berkata, pemeriksaan menemui jentera untuk mengangkat balak dan motosikal Honda EX5 dipercayai milik individu yang melakukan kegiatan haram itu.

Menurutnya, serbuan turut menemui tiga longgok balak pelbagai spesies seperti perah, mempening, kelat dan berangan sepanjang 2.4 meter panjang bernilai lebih RM7,000.

"Sindiket terbabit dipercayai berpengalaman melakukan kegiatan menceroboh hutan simpan dan memindahkan balak tanpa permit di daerah ini.

"Mereka terdiri daripada tiga individu tempatan yang mempunyai rangkaian terutama membabitkan pemandu lori dan pengusaha kilang papan," katanya.

Katanya, sindiket berkenaan turut menggunakan khidmat tonto yang menyebabkan pihaknya gagal menangkap suspek.

"Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan individu yang terbabit dengan kegiatan haram itu, manakala jentera dan motosikal yang disita akan menjadi petunjuk.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara (APN 1984) Pindaan 1993," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 4:49 PM