Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Dalam tempoh seminggu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berjaya membongkar dua cubaan memindahkan balak pelbagai spesies secara haram bernilai lebih RM404,000 di Temerloh dan Bentong.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, kes pertama di Kompartmen 6 Hutan Simpan Kemasul Mukim Pelangai, Bentong membabitkan penemuan 11 tual balak bernilai lebih RM17,000.

Katanya, serbuan oleh anggota Unit Penguat kuasa (UPK) Zon Pahang Barat itu turut menyita lori lima tan yang digunakan untuk pemindahan, malah sindiket juga dipercayai menghasilkan kayu bergergaji membabitkan spesies cengal.

"Kes kedua pula di Kompartmen 19 Hutan Simpan Jengka, Temerloh menerusi penemuan 48 tual balak spesies keruing, meranti dan balau bernilai lebih RM387,000, dipercayai ditebang secara haram oleh sindiket didalangi individu berpengalaman.

"Dalam serbuan itu, tujuh anggota Pejabat Renjer Hutan Jempol, Temerloh turut menyita jengkaut yang digunakan untuk membuat jalan tarik, menyusun dan mengangkat balak, selain tiga motosikal," katanya dihubungi di sini.

Antara balak jenis keruing yang cuba dipindahkan secara haram di Hutan Simpan Jengka. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Antara balak jenis keruing yang cuba dipindahkan secara haram di Hutan Simpan Jengka. FOTO Mohd Rafi Mamat.

Nor Azirim berkata, harga tinggi balak menjadi faktor utama kegiatan itu kembali meningkat dan sindiket menggunakan pelbagai cara untuk menceroboh hutan simpan.

"Kita sentiasa menumpukan kepada usaha menyekat serta mengesan pencerobohan hutan simpan di negeri ini, selain pasukan UPK bertindak dengan Unit Tindakan Khas Pejabat Hutan Daerah (PHD) yang diketuai pegawai hutan daerah.

"Kerjasama masyarakat setempat yang memberi maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan juga banyak membantu kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 8:42 AM