SEBAHAGIAN tiang pagar yang dirampas di Kampung Janglau. FOTO Mohd Rafi Mamat
SEBAHAGIAN tiang pagar yang dirampas di Kampung Janglau. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Rompin: Cubaan dua lelaki memindahkan 93 kayu bergergaji tanpa permit mengundang padah apabila ditahan anggota Unit Tindakan Khas Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin di Kampung Janglau, di sini, kelmarin.

Turut disita mesin membelah kayu dan lori tiga tan yang akan digunakan untuk memindahkan kayu.

Pegawai PHD Rompin, Shairani Mamat berkata, selepas menerima aduan orang awam, anggota penguat kuasa segera ke lokasi untuk melihat kegiatan dilakukan dan terbukti terdapat aktiviti menghasilkan tiang pagar oleh dua lelaki tempatan.

Menurutnya, lelaki berusia 34 dan 40 tahun itu mendakwa mereka tidak mengetahui kesalahan menebang dan membelah pokok spesies kelat kerana pokok berkenaan bukan jenis balak dan bukan berada dalam hutan.

Katanya, lelaki terbabit dalam cubaan memindahkan kayu yang dibelah menggunakan lori namun tidak sempat apabila terlebih dulu ditahan.

"Nilai ganti rugi kayu terbabit dianggarkan lebih RM1,132 dan difahamkan kayu terbabit untuk kegunaan sendiri selain dijual pada individu tertentu.

"Kita akan siasat kegiatan lelaki terbabit kerana kemungkinan mereka sebelum ini pernah melakukan aktiviti sama," katanya, di sini semalam.

Beliau berkata, lelaki terbabit boleh didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana cubaan memindahkan hasil hutan tanpa kebenaran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Shairani berkata, laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Rompin.

"Lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan polis manakala lori dan mesin membelah kayu disita," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus berusaha mengesan kegiatan membelah dan memindahkan kayu tanpa kebenaran di daerah ini bagi memastikan ia tidak terus berleluasa.

"Saya berharap masyarakat dapat terus memberi kerjasama dengan memberi maklumat aktiviti menceroboh hutan simpan selain kegiatan memindahkan hasil hutan seperti balak, emas dan rotan.

"Kita tidak akan berkompromi dengan individu melakukan apa juga kesalahan hutan, tindakan undang-undang menanti mereka yang bersalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 10:31 AM