BALAK curi di Hutan Simpan Chini dicampur dengan balak berlesen bagi mengaburi pihak berkuasa. FOTO Mohd Rafi Mamat
BALAK curi di Hutan Simpan Chini dicampur dengan balak berlesen bagi mengaburi pihak berkuasa. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Unit Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Mencatat Sebanyak 82 Kes Mencuri Balak Dan Kayu Bergergaji Sepanjang Lapan Bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Di Negeri Ini.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), JPNP Nor Azirim Ahmad berkata, walaupun negara sedang berhadapan wabak Covid-19 namum kegiatan menceroboh hutan simpan dan memindahkan hasil hutan tanpa permit tetap terus dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, bulan Jun mencatat jumlah tertinggi kegiatan mencuri balak iaitu sebanyak 19 kes diikuti Julai dan September masing-masing 15 kes, Oktober (10), Ogos (7), April (6) serta Mei (5) dan Mac (5).

"Dalam tempoh ini kita turut melumpuhkan beberapa kes kegiatan melombong emas secara haram terutama di kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis yang sentiasa menjadi tumpuan beberapa individu berpengalaman yang menjadikan warga asing sebagai pekerja.

"Walau dalam apa juga keadaan semasa anggota Unit Penguatkuasa JPNP Pahang Timur dan Barat tetap terus menjalankan operasi dalam memastikan kegiatan memindahkan hasil hutan tanpa permit atau lesen tidak terus berlaku di negeri ini.

"Sepanjang PKP kita dapati kegiatan mencuri balak dan kayu bergergaji dilihat meningkat, pelbagai cara dan helah digunakan sindiket terbabit untuk melepaskan diri," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, sebelum ini kes kegiatan memindahkan hasil hutan lebih tertumpu pada musim perayaan dan cuti umum, mereka bergerak pada waktu malam serta awal pagi namun kini aktiviti salah dilakukan tidak mengira hari dan masa.

"Helah terbaharu dikesan sindiket mencuri kayu di negeri ini ialah dengan cara mencampurkan balak berlesen dengan balak curi di pusat penyimpanan balak atau matau, kes terbaru berlaku di Hutan Simpan Chini dekat Bera, minggu lalu.

"Taktik sama sebelum ini berlaku Hutan Simpan Berkelah, Jerantut membabitkan sebanyak 300 tual balak pelbagai spesies bernilai RM300,000 berlaku pada Jun lalu. Kegiatan berkenaan dilakukan secara berangkai bermula daripada penebang, pemandu jentera dan lori balak seterusnya kilang papan," katanya.

Menurutnya, dalam tempoh 10 bulan tahun ini sebanyak 93 kes mencuri balak dan kayu bergergaji berjaya dikesan di negeri ini, lebih 30 unit pelbagai jentera yang digunakan sindiket terbabit disita.

"Kita akan terus berusaha mengesan dan menumpaskan kegiatan berkenaan dengan apa juga cara, anggota Unit Penguatkuasa JPNP tidak pernah leka untuk mengesan sindiket terbabit seterusnya mengheret mereka ke mahkamah.

"Tindakan undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 menanti pihak terbabit yang mementingkan diri sendiri. Kerugian terpaksa ditanggung kerajaan negeri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 12:37 PM