ANGGOTA Penguatkuasa Zon Pahang Timur mengukur tunggul pokok kempas yang ditebang secara haram di Hutan Simpan Jengka. FOTO Mohd Rafi Mamat
ANGGOTA Penguatkuasa Zon Pahang Timur mengukur tunggul pokok kempas yang ditebang secara haram di Hutan Simpan Jengka. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Kenaikan harga kayu hingga 20 peratus menyumbang bertambahnya kegiatan mencuri balak berskala besar secara terancang oleh sindiket.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad berkata, beberapa hutan simpan di negeri ini menjadi tumpuan kegiatan berkenaan.

Katanya, pihaknya melakukan pelbagai usaha untuk mengesan dan menumpaskan aktiviti yang mengundang kerugian kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, faktor lain membuatkan kegiatan mencuri kayu bertambah termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, disebabkan tidak dapat berkerja lalu melakukan aktiviti menceroboh hutan.

"Minggu lalu lalu dua kes cubaan memindahkan balak berskala besar berlaku di Hutan Simpan Berkelah, di sini dan Hutan Simpan Jengka, Maran. Tindakan pantas Unit Penguatkuasa Zon Pahang Timur Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berjaya mengesan kegiatan itu.

"Kes di Hutan Simpan Berkelah membabitkan balak pelbagai spesis sebanyak 1,500 tual bernilai lebih RM700,000, sindiket terbabit turut menebang pokok dalam kawasan tanah kerajaan.

"Bagi kes di Hutan Simpan Jengka sebanyak 105 tual balak pelbagai spesis bernilai lebih RM90,000 ditemui yang masih berada dalam hutan terbabit," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, pemerikssan dalam kawasan hutan seluas kira-kira lima hektar itu menemui 35 tunggul pokok pelbagai spesis seperti meranti, balau dan kempas.

Nor Azirim berkata, dua kes terbabit berlaku pada Hari Kebangsaan dan mereka melakukan aktiviti itu dalam masa lima hingga tujuh hari membabitkan antara enam hingga 10 individu.

Tambahnya lagi, selain menumpukan kepada kayu bulat atau balak, sindiket terbabit turut menghasilkan kayu bergergaji atau belah. Mereka mempunyai rangkaian untuk memasarkan produk berkenaan membabit kilang papan tempatan dan luar Pahang.

"Jabatan mempunyai senarai kilang papan tempatan dan luar Pahang yang sebelum ini terbabit menerima balak curi. Beberapa siri serbuan dilakukan sebelum ini yang membawa kepada tindakan undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 1:17 PM