Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Polis Kelantan mengesahkan ada menerima beberapa laporan mengenai pencerobohan Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, laporan itu dibuat badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat.

"Saya sahkan ada menerima beberapa laporan daripada NGO serta sebahagian penduduk dan berdasarkan laporan dibuat itu, kami tampil membantu siasatan.

"Daripada laporan dibuat itu, ada yang kami rujuk kepada agensi berkaitan dan kami akan jalankan siasatan jika ada unsur jenayah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

KETUA Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
KETUA Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Terdahulu, beliau hadir dalam majlis pelancaran Op Selamat 17/2022 sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Tunjong, di sini.

Dalam perkembangan berkaitan penugasan kawalan keselamatan di Pos Bihai, Gua Musang, Shafien berkata, 29 anggota Senoi Praaq daripada Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) berkampung di kawasan itu sejak seminggu lalu bagi menjaga keselamatan penduduk daripada serangan harimau belang.

"Selain itu, penugasan turut dibantu anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang dan penugasan dijalankan sehingga satu tempoh ditetapkan.

"Penugasan itu bagi membantu menjaga keselamatan penduduk setempat dan setakat ini kami tidak mengesan sebarang jejak kehadiran harimau itu.

"Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah memasang perangkap untuk menangkap harimau itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 1:43 PM