Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Sebanyak 230 buah kenderaan yang cuba memasuki Kelantan menerusi tiga sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri diarah berpatah balik dalam tempoh 24 jam setakat pagi tadi.

Ia menjadikan secara keseluruhan sebanyak 1,656 kenderaan diarah berpatah balik sejak Sabtu lalu sehingga hari ini.

Kesemua kenderaan yang diarah berpatah balik membabitkan SJR di Jeli, Pasir Puteh dan Gua Musang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, mereka diarah berpatah balik kerana gagal mengemukakan surat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Setiap hari kita mendapati cubaan untuk masuk ke Kelantan semakin berkurangan, mungkin sudah sedar sekatan ketat dilakukan. Justeru, kita sentiasa mengingatkan perantau supaya tidak cuba merentas negeri," katanya.

Dalam perkembangan lain mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Bunut Susu, Shafien mencadangkan bekalan makanan yang dihantar oleh pelbagai pihak untuk diagihkan kepada penduduk ditempatkan di Markas Operasi Sekolah Kebangsaan (SK) Penggu.

Katanya, pendekatan itu bagi mengelak orang ramai masuk ke kawasan berkenaan yang dibimbangi agak membahayakan.

"Semua bekalan makanan ditempatkan di sekolah berkenaan dan hanya ketua keluarga boleh keluar untuk mengambil bekalan makanan terbabit," katanya.

ANGGOTA Polis bersama anggota ATM dan RELA mengawal di kawasan lorong tikus yang terdapat dalam kawasan kampung Paya ular susulan  pelaksanaan PKPD. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA Polis bersama anggota ATM dan RELA mengawal di kawasan lorong tikus yang terdapat dalam kawasan kampung Paya ular susulan pelaksanaan PKPD. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Said Sidup berkata, pihaknya sudah menghantar 492 bakul makanan kepada tiga kampung berkenaan, pagi tadi.

Katanya, bakul berkenaan ditempatkan di surau sebelum penghulu mengagihkan kepada penduduk kampung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 3:13 PM