Hidayatidayu Razali

Pasir Puteh: Kemasukan kenderaan dari Lembah Klang, Pantai Timur, Selatan dan Utara tanah air ke negeri ini didapati meningkat sebanyak 20 peratus, hari ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, kenderaan terbabit dikesan masuk melalui tiga daerah iaitu Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh.

Katanya, peningkatan kenderaan pada hari pertama rentas negeri dibenarkan berikutan ramai perantau mula balik berikutan sudah lama tidak pulang ke kampung.

"Mereka ini masuk menerusi empat sekatan jalan raya (SJR) yang masih lagi dibuka iaitu dua di Gua Musang dan masing-masing satu di Jeli serta Pasir Puteh.

"Hasil pemeriksaan pegawai dan anggota SJR, individu yang pulang ke kampung ini, kita dapati mereka lengkap dua dos vaksin seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Namun, SJR Bukit Yong di Pasir Puteh mengesan satu kes tidak lengkap vaksinasi dan mahu pulang ke Kelantan, tetapi diarahkan berpatah balik ke tempat asal," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan di SJR Bukit Yong, di sini.

Shafien berkata, anggota polis akan membuat pemeriksaan rambang bagi memastikan tiada cubaan individu tidak lengkap dos vaksin untuk pulang ke kampung.

"Pihak kita mengesan ramai orang Kelantan dari luar masuk ke negeri ini, berbanding yang mahu keluar Kelantan.

"Ini menunjukkan orang yang ada di dalam Kelantan masih tidak mahu keluar dari negeri kemungkinan kerana kes Covid-19 masih lagi tinggi.

"Kita nasihatkan kepada semua supaya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Pihak kita tidak mahu akibat kelalaian menyebabkan kes kembali meningkat," katanya.

SHAFIEN (tengah) bersama anggotanya memeriksa kemasukan kenderaan ke Kelantan meningkat sebanyak 20 peratus hari ini yang datang dari Lembah Klang, Pantai Timur dan utara tanah air ketika lawatannya di sekatan jalan raya (SJR) Bukit Yong di Pasir Puteh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SHAFIEN (tengah) bersama anggotanya memeriksa kemasukan kenderaan ke Kelantan meningkat sebanyak 20 peratus hari ini yang datang dari Lembah Klang, Pantai Timur dan utara tanah air ketika lawatannya di sekatan jalan raya (SJR) Bukit Yong di Pasir Puteh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 5:54 PM