Baharom Bakar

Kuala Berang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan sebanyak 262 notis pengesahan maklumat barangan dalam Ops Cakna sepanjang pasca banjir mulai awal bulan lalu.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya menerima sebanyak 167 aduan mengenai pelbagai kenaikan harga barangan termasuk upah perkhidmatan pemasangan alat ganti kenderaan.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 98 notis dikeluarkan susulan kenaikan harga makanan, minuman (27), perkhidmatan (25), alat ganti kenderaan (10) dan tujuh kes aduan kenaikan harga sayur.

"Notis pengesahan maklumat barangan itu dikeluarkan ke atas peniaga mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

"Peniaga yang menerima notis itu perlu mengemukakan maklum balas dan maklumat secara terperinci harga jualan dan kos barangan bagi memudahkan siasatan untuk menentukan sama ada wujud unsur pencatutan atau mengambil keuntungan berlebihan," katanya.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian selepas merasmikan merasmikan program perjumpaan dengan Jurumandi dan Pembantu Jurumandi Jenazah di Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu, di sini, hari ini.

ROSOL (dua kanan) bermesra dengan beberapa jurumandi dan pembantu jurumandi jenazah selepas merasmikan perjumpaan dengan golongan di Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu. FOTO Baharom Bakar
ROSOL (dua kanan) bermesra dengan beberapa jurumandi dan pembantu jurumandi jenazah selepas merasmikan perjumpaan dengan golongan di Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu. FOTO Baharom Bakar

Turut hadir, Pegawai Pejabat Agama (Dakwah) Daerah Hulu Terengganu, Wan Muhammad Zulhilmi Wan Zawawi.

Rosol berkata, Ops Cakna dilakukan susulan berlaku kenaikan harga pelbagai barangan termasuk alat ganti kenderaan dan barangan elektrik serta perabut sepanjang tempoh pasca banjir.

Katanya, tumpuan utama operasi adalah peniaga pelbagai barangan elektrik, perabut, pakaian serta alat ganti kenderaan dan upah perkhidmatan di bengkel kenderaan.

"Setakat ini, tiada tindakan dikeluarkan dan peniaga yang diberi notis diberi tempoh untuk menjawab secara terperenci terutama membabitkan harga jualan dan kos barangan," katanya.

Katanya, bagi mengelakkan masyarakat terutama mangsa banjir menjadi mangsa penipuan, mereka diminta membuat semakan harga termasuk kos perkhidmatan sebelum memuktamadkan pembelian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 4:08 PM