Baharom Bakar

Kuala Berang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengeluarkan 240 notis kepada peniaga perkakasan komputer, telekomunikasi dan peranti elektronik di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata notis pengesahan maklumat barangan (NPMB) dikeluarkan kepada peniaga kerana disyaki menaikkan harga barangan.

Jelasnya, notis NPMB itu dikeluarkan kepada peniaga mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

"Operasi pemantauan terhadap peniaga perkakasan komputer, telekomunikasi dan peranti elektronik akan dilakukan sehingga Isnin depan.

"Peniaga yang menerima notis itu diberi tempoh dua hari untuk mengemukakan maklum balas dan maklumat secara terperinci harga jualan dan kos barangan bagi memudahkan siasatan lanjut dilakukan," katanya.

ROSOL WAHID
ROSOL WAHID

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian selepas merasmikan kedai runcit bergerak Prihatin Bergerak peringkat Parlimen Hulu Terengganu di Dataran Kuala Telemong, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Ops Catut 8.0 yang dilaksanakan kerajaan selama 14 hari mulai 26 Januari lalu bagi bertujuan membendung salah laku atau manipulasi harga oleh peniaga susulan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang turut hadir adalah Pengarah Prihatin Mart, Raja Razali Raja Abdul Rahman.

Menurutnya, Ops Catut 8.0 yang dilaksanakan selama 14 hari bertujuan membendung salah laku atau manipulasi harga oleh peniaga susulan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengulas lanjut, Rosol berkata, peniaga berdepan dengan dengan tindakan mengikut Seksyen 21(5), AKHAP 2011, dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000, jika gagal mengemukakan maklumat terperinci termasuk harga jualan dan kos barangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 6:20 PM