Baharom Bakar


KERAJAAN sedang mengkaji untuk menetapkan harga siling lebih rendah bagi pelitup muka tiga lapis bukan perubatan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, cadangan penetapan harga siling itu bagi membantu rakyat menggunakan pelitup muka tiga lapisan bukan perubatan pada harga lebih rendah, berbanding separuh muka jenis perubatan yang dikawal pada harga RM1 sekeping.

"Harga pelitup muka perubatan yang biasanya dipakai petugas di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah RM1.80 sekeping sebelum kerajaan mengumumkan penurunan harga berkuat kuasa pertengahan bulan ini.

"Harga pasaran pelitup muka perubatan diturunkan sama seperti harga pelitup muka tiga lapis jenis bukan perubatan selepas kerajaan mengumumkan harga baharu berkuat kuasa 15 Ogos lalu.

"Kerajaan sedang membuat kajian untuk menurunkan harga pelitup muka tiga lapisan bukan perubatan untuk meringankan beban rakyat terutama apabila kerajaan menguatkuasakan pemakaian pelitup muka bagi membendung penularan wabak Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) Kuala Berang hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak bercadang untuk menetapkan harga kawalan bagi alat ganti enjin bot dan kelengkapan nelayan.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, kawalan harga hanya boleh dikuatkuasakan ke atas barangan keperluan asas seperti gandum, gula, minyak masak, beras dan barangan dapur termasuk bawang, ayam serta daging.

"Bagaimanapun, nelayan dan persatuan nelayan di seluruh negara boleh membuat aduan kepada KDNHEP jika berlaku kenaikan secara mendadak alat ganti serta kelengkapan digunakan nelayan.

"Walaupun kerajaan tidak boleh menetapkan harga barangan dan kelengkapan termasuk alat ganti enjin bot sebagai barangan kawalan, tetapi tindakan boleh dikenakan ke atas pembekal kelengkapan itu mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 4:32 PM