Hasni ketika melawat ke PPS, disertai penyanyi tersohor negara, Amy Search turut menghulurkan sumbangan produk kopinya kepada mangsa banjir di Muar, hari ini. FOTO Ihsan MEDKOM
Hasni ketika melawat ke PPS, disertai penyanyi tersohor negara, Amy Search turut menghulurkan sumbangan produk kopinya kepada mangsa banjir di Muar, hari ini. FOTO Ihsan MEDKOM
Essa Abu Yamin


Muar: Kerajaan Johor akan memperkenalkan pelbagai bantuan pasca banjir bagi meringankan bebanan semua mangsa bencana alam berkenaan di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan sudah merangka pelbagai bantuan dalam usaha membantu mereka yang terjejas.

"Saya berharap mangsa-mangsa banjir tidak perlu bimbang, kita tidak akan membiarkan mereka (mangsa banjir) begitu sahaja.

"Kerajaan negeri sudah merangka bantuan pasca banjir. Namun, bantuan akan disalurkan secara berperingkat-peringkat mengikut keadaan semasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Pagoh dan PPS Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), dekat sini hari ini.

Hasni berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan sukarelawan yang terbabit dalam pengurusan mangsa banjir di negeri ini.

"Kalau kita lihat hari ini hanya empat daerah sahaja lagi yang masih membuka PPS, manakala daerah lain sudah ditutup.

"Persediaan banjir kali ini begitu baik, semua agensi tahu peranan masing-masing... terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terbabit," katanya.

Hasni turut menyampaikan Bantuan Wang Ihsan Negeri Terlibat Banjir Tahun 2022 (Fasa 1) dan Bantuan Wang Ihsan Johor Tahun 2022 (Fasa 1) sebanyak RM1,500 kepada wakil keluarga mangsa banjir.

Lawatan berkenaan turut disertai penyanyi tersohor negara, Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 64 yang turut menyumbang produk kopinya kepada mangsa banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 7:55 PM