HASNI MOHAMMAD
HASNI MOHAMMAD
Mohamed Farid Noh


JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad meminta wakil rakyat merapatkan saf dan berhenti berbalah sesama sendiri kerana ia hanya membawa kehancuran.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut berkata, ketika semua pihak bekerja keras memerangi wabak Covid-19, masih ada pemimpin yang terus bermain politik.

Katanya, kerajaan Johor pimpinan Perikatan Nasional (PN) diberi mandat menghadapi cabaran besar untuk memulihkan ekonomi negeri.

"Saya berharap semua pemimpin berhenti berbalah. Ia tidak memberi kebaikan, malah mencetuskan perpecahan, sekali gus boleh membawa kehancuran.

"Apakah ini yang kita inginkan? Sedangkan rakyat Johor amat memerlukan perhatian untuk bangkit meneruskan kehidupan dalam mendepani Covid-19.

"Semua pihak hentikan perbalahan sesama sendiri. Sekarang masa untuk kita merapatkan saf, bekerjasama membantu anak bangsa dan membina negeri tercinta.

"Apa yang amat saya harapkan daripada semua pemimpin, sama ada dalam blok kerajaan atau pembangkang supaya berganding bahu bersama-sama saya," katanya dalam kenyataan, semalam.

Hasni berkata demikian susulan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar semalam yang memberi amaran untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta-merta jika perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat negeri ini terus berlaku.

Baginda amat kecewa dengan kemelut politik yang masih berlaku di negeri ini.

Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor berkata, beliau berharap semua pemimpin menyelami, memahami serta mematuhi titah Sultan Johor supaya kita sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 6:40 AM