BENDERA Palestin dikibarkan oleh penunjuk perasaan di kampus Universiti George Washington di Amerika Syarikat. FOTO Reuters
BENDERA Palestin dikibarkan oleh penunjuk perasaan di kampus Universiti George Washington di Amerika Syarikat. FOTO Reuters
AFP

Baitulmaqdis: Hamas pada Ahad berkata, pihaknya tiada 'isu utama' selepas mengkaji cadangan terbaru Israel untuk perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan yang sudah lama diusahakan di Semenanjung Gaza selepas hampir tujuh bulan perang.

Satu delegasi dari pergerakan Islam itu dijadual tiba di Mesir, pada Isnin, untuk menyampaikan respons kumpulan itu terhadap cadangan balas Israel, kata seorang pegawai kanan Hamas memberitahu AFP.

"Suasananya positif melainkan ada halangan baharu Israel," kata pegawai itu menjelaskan dengan syarat enggan dikenali.

Tiada isu besar dalam pemerhatian dan pertanyaan yang dikemukakan Hamas mengenai kandungan cadangan itu, tambah pegawai berkenaan.

Kerajaan Israel menerima tekanan hebat daripada sekutu global untuk mencapai gencatan senjata dalam perang yang dikatakan sudah 'mengheret' Gaza ke ambang kebuluran, menimbulkan kebimbangan konflik yang lebih meluas.

Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) sudah mencuba untuk menjadi pengantara gencatan senjata baharu kali ini, sejak pertempuran dihentikan selama seminggu pada November lalu dan menyaksikan 80 tebusan Israel ditukar dengan 240 warga Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Israel membunuh sekurang-kurangnya 34,454 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di wilayah kendalian Hamas.

Rejim itu menganggarkan bahawa 129 tebusan masih ditahan di Gaza, termasuk 34 yang dikatakan tentera sudah mati.

Hamas sebelum ini menegaskan untuk gencatan senjata kekal, namun ia ditolak Israel.

Bagaimanapun, laman web berita Axios, memetik dua pegawai Israel, melaporkan bahawa cadangan terbaru Israel termasuk kesediaan untuk membincangkan "pemulihan ketenangan mampan" di Gaza selepas tebusan dibebaskan.

Ia adalah kali pertama pemimpin Israel mencadangkan pihaknya terbuka untuk membincangkan penamatan perang, kata Axios.

Sumber Hamas yang rapat dengan rundingan memberitahu AFP, kumpulan itu terbuka untuk membincangkan cadangan baharu itu secara positif.

Hamas mahu mencapai persetujuan menjamin gencatan senjata kekal, tiada syarat kembalinya orang yang terpaksa berpindah akibat perang itu, perjanjian yang boleh diterima untuk banduan termasuk pertukaran dan memastikan penamatan kepungan di Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 2:16 PM