Mohamed Farid Noh


MENTERI Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, tiba di Istana Pasir Pelangi tengah hari tadi dipercayai bagi mempersembahkan senarai akhir Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Hasni yang menaiki kenderaan rasmi kerajaan Johor dilihat memasuki perkarangan Istana Pasir Pelangi, di sini, kira-kira 1.15 tengah hari tadi.

Terdahulu,Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dilihat memasuki perkarangan istana berkenaan kira-kira 1.05 tengah hari tadi.

Hasni dijangka membuat pengumuman penting pada sidang media khas pada 3 petang ini di Pejabat Menteri Besar di Iskandar Puteri.

Isnin lalu, Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN)Johor dilaporkan berkata, majlis angkat sumpah barisan EXCO baharu Johor dijangka akan dilakukan pada minggu ini.

Hasni dilaporkan berkata, majlis akan sumpah itu perlu disegerakan bagi membolehkan kerajaan negeri menjalankan tugas pentadbiran dengan berkesan.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut,mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang ke-18 di Istana Bukit Serene, Jumaat lalu.

Desas-desus barisan EXCO baharu negeri ini akan mengangkat sumpah semakin hangat diperkatakan dengan sumber politik menyatakan ia akan diadakan pada esok atau Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 2:00 PM