Filem Sheriff kutip RM35.3 juta selepas 11 Hari tayangan
Filem Sheriff kutip RM35.3 juta selepas 11 Hari tayangan
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Kutipan filem Sheriff kini berada di tangga nombor satu untuk tahun 2024 di Malaysia termasuk mengenepikan filem-filem antarabangsa selepas meraih RM35.3 juta untuk 11 hari tayangannya.

Pengarahnya Syafiq Yusof, 32, akui memang terharu dengan sambutannya yang luar biasa selain sokongan tidak putus-putus diberikan pelbagai pihak.

"Alhamdullilah, Sheriff masih mendapat sambutan menggalakkan di pawagam meskipun sudah memasuki hari ke-11. Saya ingin ambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada penonton yang menerima Sheriff.

"Serta pihak media dan pempamer yang banyak memberi sokongan pada Sheriff sejak mula lagi sehingga filem ini berjaya menjadi filem nombor satu kutipan tertinggi tahun ini," katanya.

Impian untuk melakar sejarah buat keseluruhan yang terbabit menerusi naskhah terbitan Skop Productions dan Astro Shaw nampaknya tertunai jua.

Apalagi berjaya mengenepikan filem besar antarabangsa. 

Terdahulu, Penerbit Eksekutif filem ini merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan keyakinan Sheriff mampu lakar sejarah tersendiri.

"Tidak mustahil filem arahan Syafiq itu mampu mencipta sejarah baharu dalam industri perfileman tempatan. "Kami mengharapkan penonton yang belum menonton Sheriff tidak ketinggalan menonton dan menikmati sebuah naskhah yang menjanjikan pengalaman berbeza," katanya.

Rata-rata penonton memberikan bintang tertinggi selepas menyaksikan filem dibintangi Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz dan Elizabeth Tan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 2:25 PM