Hasni Mohammad melambai ke arah media sebaik keluar dari Pintu Belakang Istana Bukit Serene pada 3.38 petang tadi. FOTO BERNAMA
Hasni Mohammad melambai ke arah media sebaik keluar dari Pintu Belakang Istana Bukit Serene pada 3.38 petang tadi. FOTO BERNAMA
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad mengajak semua rakyat di negeri ini supaya bersama-sama membina Johor yang lebih makmur.

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor, mengucapkan tahniah kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi atas pelantikannya sebagai Menteri Besar Johor Ke-19.

"Seperti yang saya telah nyatakan, tiada ideologi politik, ahli politik dan parti politik yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta'zim.

"Kini masa untuk kita bersama-sama membina Johor yang lebih makmur. Insya-Allah di bawah kepimpinan baharu, Negeri Johor yang kita cintai ini akan menjadi lebih makmur dan sejahtera," katanya dalam muat naik di akaun Facebooknya.

Hasni adalah Ketua UMNO Bahagian Pontian sejak 2001 dan pernah menjadi Ahli Parlimen Pontian pada tahun 2004 hingga 2008.

Hasni kemudian bertanding Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut pada 2008 dan kekal selama empat penggal.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, Hasni menang dengan majoriti selesa lebih 5,000 undi mengatasi tiga pencabarnya di DUN Benut.

Pada 28 Februari 2020, Hasni sah menjadi Menteri Besar Johor yang ke-18 selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim.

Hasni menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-17 pada 14 April, 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 6:31 PM