DATUK Hasni Mohammad. FOTO Arkib NSTP
DATUK Hasni Mohammad. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


MENTERI Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad meminta wakil rakyat merapatkan saf dan berhenti berbalah sesama sendiri kerana ia hanya membawa kehancuran.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, ketika semua pihak bekerja keras memerangi wabak Covid-19, masih ada pemimpin yang terus bermain politik.

Katanya, kerajaan Johor pimpinan Perikatan Nasional (PN) diberi mandat menghadapi cabaran besar untuk memulihkan ekonomi negeri.

"Saya berharap semua pemimpin berhenti berbalah. Ia tidak memberi kebaikan, malah mencetuskan perpecahan, sekali gus boleh membawa kehancuran.

"Apakah ini yang kita inginkan? Sedangkan rakyat Johor amat memerlukan perhatian untuk bangkit meneruskan kehidupan dalam mendepani Covid-19.

"Semua pihak supaya hentikan perbalahan sesama sendiri. Sekarang masa untuk kita merapatkan saf, bekerjasama membantu anak bangsa dan membina negeri tercinta.

"Apa yang amat saya harapkan daripada semua pemimpin, sama ada dalam blok kerajaan atau pembangkang supaya berganding bahu bersama-sama saya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hasni berkata demikian susulan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar hari ini yang memberi amaran untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta-merta jika perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat negeri ini terus berlaku.

Baginda amat kecewa dengan kemelut politik yang masih berlaku di negeri ini.

Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor berkata, beliau berharap semua pemimpin menyelami, memahami serta mematuhi titah Sultan Johor supaya kita sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.

Katanya, Sultan Johor turut memberi amaran bahawa tidak teragak-agak untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan mengadakan pilihan raya negeri yang baharu.

"Apakah ini yang kita mahukan sedangkan kerajaan negeri pimpinan PN gigih berusaha memulihkan semula negeri ini?

"Sudahlah rakyat sedang menderita, usahlah heret mereka lagi ke dalam kancah politik yang tidak menentu.

"Janganlah menambah bebanan rakyat yang memang sudah sedia berat serta menekan. Kestabilan politik amat diperlukan untuk memajukan negeri ini," katanya.

Hasni berkata, beliau tidak mampu melakukan tugas seorang diri atau hanya bersama-sama barisan EXCO yang ada, namun memerlukan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak, termasuk agensi kerajaan dan swasta serta rakyat Johor.

"Perbezaan pendapat atau pandangan itu perkara lumrah, apatah lagi kita mewakili parti politik yang berbeza.

"Walaupun berbeza pendapat, namun jika berlandaskan matlamat yang baik dan sama iaitu untuk membantu serta menjaga kepentingan rakyat dan negeri. Saya yakin perkara itu mampu menzahirkan hasil yang baik dan memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Beliau juga berharap, semua barisan EXCO dan ADUN untuk bersama-sama membantu kerajaan membangun serta memulihkan semula ekonomi negeri Johor.

"Saya sentiasa membuka pintu kepada semua untuk memberi idea dan pandangan bagi memulihkan ekonomi negeri, sekali gus membantu rakyat yang amat memerlukan perhatian dan bantuan daripada kerajaan," katanya.

Berita berkaitan

'Kalau ada lagi perebutan kuasa, saya bubar DUN' - Sultan Johor

PH Johor junjung amaran Sultan Johor

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 7:07 PM