Azam Baki.
Azam Baki.
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Kerajaan memberi jaminan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung isu pemilikan saham dibuat mengikut undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kes itu kini diteliti dua pihak iaitu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain pandangan daripada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) akan turut diambil kira.

"Saya sedar ramai yang menuntut supaya tindakan diambil terhadap Azam. Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan semua bahawa perkara ini masih dalam siasatan dan kita hanya boleh membuat keputusan mengenainya selepas siasatan selesai oleh SC dan PDRM.

"Sementara siasatan ini selesai, saya berharap semua pihak bertenang kerana kami sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikannya dengan cara terbaik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, Azam pada sidang media berasingan pada Rabu lalu, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas beberapa syarikat termasuk syarikat konglomerat dan menyifatkan tuduhan itu sebagai satu penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka bagi menjatuhkan reputasinya dan SPRM.

Mengenai pemilikan saham Azam dalam syarikat senarai awam, Dr Wan Junaidi menjelaskan, apabila saham itu mula dibeli pada 2016, satu juta saham itu hanya bernilai RM330,000 iaitu kira-kira antara 30 sen dan 33 sen sesaham, dan saiz saham semasa yang dipegang Azam ketika ini terkumpul selama bertahun-tahun.

"Berdasarkan harga awal, ia bukan saham yang mahal untuk diperoleh. Saya percaya ia mampu dimiliki kebanyakan kita.

"Bagi mereka yang menjadi peniaga pasaran saham yang aktif, ia adalah perkara biasa untuk meningkatkan pegangan saham anda secara beransur-ansur dari semasa ke semasa, terutama apabila anda melihat potensinya," katanya.

Beliau turut memaklumkan, tiada undang-undang atau peraturan yang menghalang penjawat awam daripada memperoleh saham dalam syarikat tersenarai awam.

Katanya, di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, kakitangan kerajaan hanya dilarang berdagang dalam pasaran niaga hadapan di dalam dan luar negara, manakala mereka yang memiliki saham dalam syarikat senarai awam dikehendaki mengisytiharkannya sebagai aset.

Sementara itu, berhubung tuntutan untuk meletakkan SPRM di bawah Parlimen, Wan Junaidi berkata, ia bukan perkara yang mudah dan perlu dilihat dengan berhati-hati.

Katanya, bagi memastikan SPRM berkesan, ia perlu beroperasi secara bebas.

"Penubuhan SPRM di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) memastikan kebebasan suruhanjaya itu dan ini tidak boleh dikompromi dalam apa cara sekali pun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 7:52 PM