Tan Sri Azam Baki. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Tan Sri Azam Baki. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Suraya Roslan


Hulu Langat: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memulakan siasatan selepas menerima laporan yang dibuat terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki susulan pengakuannya bahawa akaun sekuritinya digunakan adik beliau bagi membeli kepentingan dalam beberapa syarikat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, difahamkan ketika ini Azam Baki disiasat mengikut akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

"Kita baru dapat laporan dan jika kesalahan dilakukan mengikut akta Sekuriti Malaysia, mereka akan siasat.

"Kita juga terima laporan polis dibuat, kalau ada kesalahan lain kita akan mulakan siasatan," katanya dalam sidang media ketika lawatan dan penyerahan dokumen diri kepada mangsa banjir di Taman Sri Nanding, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Azam menafikan dakwaan isu pemilikan saham dalam beberapa syarikat yang dibangkitkan beberapa agensi media dan portal bebas sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adik beliau, Nasir menggunakan pembiayaan miliknya dan saham syarikat yang dibeli tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM.

Susulan kenyataan itu, beberapa Ahli Parlimen PKR hari ini membuat laporan polis terhadap Azam di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 4:57 PM