Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. FOTO BERNAMA
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. FOTO BERNAMA
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd didapati tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung isu kemasukan wang ke dalam akaunnya berjumlah AUD320,000 (kira-kira RM957,826) di Commonwealth Bank of Australia.

Ia berdasarkan hasil siasatan dalaman yang dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata hasil siasatan dalaman itu mendapati wang yang diperoleh daripada penjualan harta pada 26 April 2016 sudah diisytiharkan Wan Ahmad Najmuddin Mohd pada 11 Februari 2000.

"Berdasarkan siasatan dalaman berhubung isu kemasukan wang ke dalam akaun Commonwealth Bank of Australia, tiada sebarang kesalahan dilakukan (oleh Wan Ahmad Najmuddin)," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Azalina menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang ingin mengetahui sebab tindakan undang-undang tidak diambil ke atas Wan Ahmad Najmuddin berhubung kes pelucutan wang berjumlah AUD 320,000 oleh Pasukan Polis Australia (AFP) pada 2018.

Pada 2018, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung wang berkenaan dalam sebuah akaun bank yang dibekukan di Australia milik Wan Ahmad Najmuddin.

Sydney Morning Herald melaporkan Polis Australia membekukan AUD320,000, yang dipindahkan tanpa mematuhi undang-undang Australia ke dalam akaun itu pada 2016.

Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilapor berkata Bukit Aman sudah diberitahu mengenai kewujudan akaun itu dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM menjalankan siasatan dalaman dan membersihkan Wan Ahmad Najmuddin daripada sebarang salah laku.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 11:33 AM