Tan Sri Azam Baki
Tan Sri Azam Baki
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki menegaskan akan meneruskan tanggungjawab memimpin agensi itu membanteras gejala rasuah di negara tanpa mengira darjat atau pangkat.

Azam memaklumkan, beliau turut melahirkan syukur di atas keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang mendapati tiada kesalahan dilakukan pihaknya.

"Saya dimaklumkan Suruhanjaya Sekuriti siasatan terhadap perkara itu dimuktamadkan.

"Oleh yang demikian, Suruhanjaya Sekuriti menutup fail inkuiri berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, SC merumuskan berdasarkan siasatan, ia tidak dapat membuktikan terdapat pelanggaran mengikut Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung pemilikan saham menerusi akaun dagangan Azam.

Pengawal selia pasaran modal tempatan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, SC membuat kesimpulan dalam siasatannya itu berdasarkan bukti yang dikumpulkan.

Azam dalam satu sidang media berasingan selepas berakhirnya sidang media Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, dalam penjelasannya kepada panel LPPR memaklumkan akaun saham beliau digunakan oleh adiknya untuk membeli saham di pasaran terbuka dengan pembiayaan sendiri.

Beliau berkata, saham yang dibeli adiknya tiada kaitan dengan siasatan SPRM dan beliau tidak mempunyai kepentingan ke atas saham terbabit.

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan terhadap Azam memiliki kepentingan dan pemilikan saham dalam beberapa syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 7:00 PM