Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Terpedaya dengan ugutan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram, seorang mekanik kerugian lebih RM170,000.

Ia selepas mangsa dipercayai ditipu oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang terlalu takut bertindak mendedahkan maklumat akaun bank miliknya.

Menurutnya, mangsa pada 13 Disember lalu menerima panggilan seorang individu yang menyamar pegawai polis.

Katanya, 'pegawai polis' itu mendakwa mangsa terbabit dalam pengubahan wang haram sebelum meminta lelaki itu membuka akaun dengan Agro Bank.

"Disebabkan terlalu bimbang, mangsa mengikut arahan individu yang menyamar pegawai polis itu.

"Kemudian, mangsa pindahkan wang sebanyak RM520,000 dan menghantar gambar kad ATM.

"Selepas itu, mangsa mendedahkan dua maklumat akaun bank miliknya sehingga dia mengalami kerugian berjumlah RM170,030.89," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang merasa tertipu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kuantan, semalam.

Dalam kes berasingan, seorang pembantu tukang masak wanita kerugian RM20,000 selepas ditipu seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

'Pegawai' itu mendakwa mangsa mempunyai tunggakan bayaran cukai berjumlah RM55,000.00.

Mohd Wazir berkata, mangsa menafikan dan suspek mengatakan bahawa nama mangsa diguna dalam kes pengubahan wang haram.

"Mangsa diminta untuk mendedahkan maklumat akaun bank seperti nombor akaun dan nombor kad ATM, "Selepas mangsa mendedahkan maklumat itu, dia membuat semakan baki di dalam akaun dan mendapati wang berkurang sebanyak RM20,000," katanya.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 10:06 AM