Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Rafi Mamat


BIMBANG disabitkan kesalahan berkaitan pengubahan wang haram menyebabkan seorang wanita kerugian RM75,000 selepas diperdaya dua individu menyamar sebagai polis dan kakitangan Pos Laju.

Suri rumah berusia 59 tahun itu diperdaya kononnya terbabit dalam kes berkenaan hingga mendorongnya membuat bayaran seperti diarahkan bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa terjerat perangkap 'scammer' itu selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki menyamar sebagai kakitangan Pos Laju pada 17 Julai lalu.

Menurutnya, mangsa dimaklumkan berhubung bungkusan menggunakan namanya yang dikirim ke Sabah dan mengandungi kad pengenalan serta kad bank mencurigakan.

"Mangsa menafikan ada kaitan dengan bungkusan berkenaan sebelum panggilan disambung kepada seorang anggota polis berpangkat sarjan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi tujuan semakan.

"Hasil semakan, anggota polis berkenaan mendakwa mangsa dikehendaki kerana terbabit dengan kes pengubahan wang haram dan dirujuk kepada pegawai polis berpangkat inspektor untuk tindakan selanjutnya," katanya di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, pegawai polis berkenaan yang menggunakan nama Inspektor Fauzi mengarahkan mangsa membuat bayaran dalam jumlah ditetapkan bagi mengelak ditangkap.

Beliau berkata, berikutan bimbang dikenakan tindakan undang-undang, mangsa akur dengan arahan itu apabila membuat 15 transaksi bayaran dengan jumlah keseluruhan RM75,000 ke tiga akaun bank atas nama individu berbeza pada 27 Julai lalu.

"Selepas selesai membuat pembayaran, mangsa mula sedar dia ditipu sebelum tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan, semalam.

"Polis kini sedang berusaha mengesan tiga lelaki pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan tipu helah individu menggunakan pelbagai cara untuk memerangkap mangsa supaya menyerahkan bayaran dengan jumlah tertentu.

Menurutnya, sekiranya menerima panggilan daripada individu mencurigakan atau tidak dikenali, orang ramai dinasihatkan merujuk kepada polis atau agensi berkaitan dan bukannya bertindak sendirian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 4:07 PM