Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Kecuaian mendedahkan maklumat akaun bank dan jumlah wang simpanan mengakibatkan seorang wanita kerugian lebih RM173,000 selepas diperdayakan sindiket penipuan.

Mangsa berusia 51 tahun itu berbuat demikian kerana panik apabila dihubungi beberapa individu mendakwa mempunyai tunggakan cukai syarikat selain dikehendaki kerana terbabit dalam kes pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, nasib malang menimpa wanita itu bermula selepas dia menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya pada 3 Ogos lalu berhubung tunggakan cukai syarikat berjumlah RM30,400.

Menurutnya, mangsa turut menerima panggilan daripada pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka sebelum diminta berurusan dengan Datuk Riduan yang mengendalikan kes itu.

"Mangsa diberitahu namanya digunakan untuk mendaftar sebuah syarikat dan dia turut dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes pengubahan wang haram sebelum diarahkan supaya mendedahkan maklumat bank serta wang simpanan dimiliki untuk siasatan.

"Akibat panik, mangsa mendedahkan semua maklumat lima akaun banknya dengan jumlah wang simpanan mencecah RM200,000," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian diarah memindahkan wang simpanannya ke akaun bank yang diberikan untuk siasatan lanjut berhubung sumber wang terbabit.

"Mangsa akur lalu membuat pemindahan wang sebanyak 30 kali melalui sembilan akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM173,050 bermula pada 6 Ogos lalu.

"Selepas wang dipindahkan, mangsa dihubungi Datuk Riduan dan dia diarahkan agar mengumpul semua resit transaksi dalam satu fail dan meletakkannya dalam tong sampah sebuah stesen minyak," katanya.

Menurutnya, mangsa mula rasa curiga dan tidak menurut arahan itu sebaliknya menceritakan kejadian itu kepada adiknya sebelum dinasihatkan membuat laporan polis.

Katanya, mangsa yang tertipu membuat laporan di Balai Polis Bentong, semalam dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 12:48 PM