Antara kenderaan yang musnah akibat banjir pada sabtu lalu ketika tinjauan dibJalan Sungai Lalang-menghala Sungai Lui. FOTO AZHAR RAMLI
Antara kenderaan yang musnah akibat banjir pada sabtu lalu ketika tinjauan dibJalan Sungai Lalang-menghala Sungai Lui. FOTO AZHAR RAMLI
BERNAMA

Putrajaya: Pengusaha bengkel kenderaan bermotor diingatkan tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan harga yang melampau bagi kerja-kerja pembaikan kenderaan ekoran bencana banjir yang melanda negara.

Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, peniaga bengkel harus mematuhi Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002, Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Menegaskan KPDNHEP akan meningkatkan pemantauan ke atas premis perniagaan kenderaan bermotor, beliau berkata, peniaga yang mengambil kesempatan boleh disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisma Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.

Azman pada kenyataan hari ini berkata, sepanjang 2021, KPDNHEP sudah menjalankan 570 pemeriksaan terhadap bengkel kenderaan bermotor dan 76 kes diambil tindakan dengan jumlah kompaun RM21,250.

"Pengguna dinasihati berhati-hati mendapatkan sebut harga secara bertulis berkaitan jangkaan pembaikan kenderaan daripada peniaga," katanya sambil menyarankan pengguna mendapatkan perkhidmatan pembaikan di pusat penyelenggaraan berkaitan sekiranya kenderaan masih dalam jaminan.

Sebarang aduan atau maklumat, orang ramai boleh melaporkan kepada KPDNHEP melalui saluran aduan iaitu aplikasi WhatsApp 019-2794317, e-aduan.kpdnhep.gov.my, talian 1 800 886 800, [email protected] dan Ez ADU KPDNHEP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 6:24 PM