Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perak menjalankan pemeriksaan di dua premis yang masing-masing didapati menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang ditetapkan hasil aduan orang ramai di sekitar bandaraya Ipoh. Foto KPDNHEP Perak
Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perak menjalankan pemeriksaan di dua premis yang masing-masing didapati menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang ditetapkan hasil aduan orang ramai di sekitar bandaraya Ipoh. Foto KPDNHEP Perak
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


DUA peniaga masing-masing dikompaun RM5,000 dan RM2,500 selepas didapati menjual barangan harga terkawal iaitu ayam standard serta cili merah melebihi harga maksimum ditetapkan, hari ini.

Pemeriksaan dilakukan pada 8.30 pagi oleh sepasukan 14 pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak selepas menerima aduan awam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya V Ravichandran berkata, kompaun dikeluarkan kepada pengusaha pasar mini di Ipoh kerana menjual ayam standard pada harga RM7.70 sekilogram berbanding harga maksimum iaitu RM7.50 sekilogram.

Menurutnya, peniaga kedai runcit di Chemor pula didapati menjual cili merah pada harga RM18 sekilogram berbanding harga maksimum ditetapkan iaitu RM13 sekilogram.

"Kedua-dua peniaga terbabit dikenakan kompaun serta-merta kerana gagal mematuhi Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemilik bengkel motosikal turut dikenakan kompaun RM2,000 serta-merta, hari ini kerana gagal mematuhi pendedahan senarai barang ganti dan senarai perkhidmatan pembaikan yang ditetapkan.

"Dia dikompaun kerana melanggar Peraturan 5 Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002," katanya.

Katanya, sejak pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa bermula Rabu lalu, pihaknya menerima sebanyak 26 aduan dan sudah memeriksa 1,022 premis perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 5:34 PM