Azman Mohd Yusof
Azman Mohd Yusof
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kerajaan akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali (SHMPD) 2022 berkuat kuasa dari 20 hingga 26 Oktober ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd Yusof berkata, tempoh pelaksanaan itu adalah selama tujuh hari dan berkuat kuasa empat hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan.

Menurutnya, pada masa sama, ayam dan telur ayam disambung pewartaannya sebagai barangan harga terkawal dan sedang berkuat kuasa bermula 12 Oktober lalu.

Katanya, antara jenis barangan harga terkawal bagi pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam adalah seperti ayam hidup dan ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya).

"Barangan terkawal lain adalah ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, bagi telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji) dan telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji).

Menurutnya, sebanyak lapan jenis barangan harga terkawal berserta harga maksimum akan diwartakan bagi pelaksanaan SHMMPD.

Katanya, senarai barangan harga terkawal SHMMPD adalah seperti daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, cili merah, kelapa biji (harga maksimum di peringkat borong sahaja), kelapa parut (harga maksimum di peringkat runcit sahaja), bawang merah kecil (India), bawang merah besar import dan kacang dal (Australia).

"Semakan harga boleh dibuat melalui laman sesawang KPDNHEPdi https://www. kpdnhep.gov.my dan tempoh pelaksanaannya bersesuaian mengikut keadaan semasa bagi mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga," katanya.

Melalui program ini pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga berpuas hati dengan tempoh masa pelaksanaan yang diperkenalkan.

Ia dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.

Azman berkata, pegawai penguat akan ditugaskan di lokasi strategik bagi membolehkan penguatkuasaan dan pemantauan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Sekiranya didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang skim pelaksanaan ini pengguna boleh membuat laporan kepada KPDNHEP melalui WhatsApp di talian 019- 279 4317 / 019-848 8000, [email protected] , Pusat Panggilan 1800 886 800, e-mel [email protected],aplikasi telefon pintar Ez ADU, Pusat Arahan Penguat Kuasa (ECC) di talian 03-8882 6245 / 608.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 9:30 PM