GAMBAR  hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Sebanyak 6,702 premis perniagaan di peringkat borong dan runcit seluruh negara diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2022 dipatuhi.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 10 kes dikesan melanggar perundangan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011(AKHAP 2011) sejak SHMMP bermula 26 April lalu.

Menurutnya, kerajaan juga memutuskan untuk melanjutkan tempoh SHMMP 2022 selama empat hari lagi walaupun ia sepatutnya berakhir 6 Mei ini.

Katanya, inisiatif itu bertujuan membolehkan seluruh Keluarga Malaysia berbilang kaum meneruskan tradisi kunjung mengunjung dan rumah terbuka

dalam suasana harmoni dan riang-ria serta selamat.

"Kesalahan yang dikesan adalah membabitkan kegagalan mematuhi keperluan tanda harga dan menjual barang kawalan melebihi harga maksimum," katanya tadi.

Azman berkata, penguatkuasaan ke atas pelaksanaan SHMMP-HRP 2022 ini akan diteruskan di seluruh negara sehingga tamat tempoh pelaksanaan skim pada 10 Mei ini.

Menurutnya, selain itu, penentuan harga maksimum ayam dan telur akan terus berkuatkuasa sehingga 5 Jun 2022.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat dan aduan sekiranya mendapati ada peniaga yang menyalahi undang-undang melalui Aplikasi WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000, portal aduan: e-aduan.kpdnhep.gov.my ,

pusat panggilan 1-800-886-800,e-mel [email protected] dan Ez ADU KPDNHEP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 2:49 PM