Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Seramai 27 bekas Panglima Tentera Darat (PTD) teruja apabila nama mereka diabadikan dalam Galeri Panglima Tentera Darat (PTD) Muzium Tentera Darat untuk tatapan generasi akan datang.

Muzium Tentera Darat di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) ini dibuka kepada orang ramai dan boleh dilawati secara percuma tanpa bayaran khusus.

Galeri PTD itu dirasmikan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain di sini, tadi.

Menurut Bekas PTD yang ke 10, Jeneral (Bersara) Tan Sri (Dr) Mohamed Hashim Mohd Ali, galeri itu adalah idea awal PTD ke 25, Jeneral (bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

"Di sini banyak kenangan kami disimpan untuk tatapan orang ramai dan kami teruja ia direalisasikan untuk tatapan generasi akan datang.

"Bagi saya ia juga satu penghormatan kerana secara tidak langsung jasa kami (bekas PTD) dihargai dan banyak kenangan ketika memegang jawatan ini satu ketika dahulu," katanya.

Sementara itu PTD ke 11, Jeneral (Bersara) Tan Sri (Dr) Borhan Ahmad berkata, galeri ini akan menjadi tatapan untuk mereka yang mahu mengkaji sejarah terutama berkaitan pemerintahan Tentera Darat.

"Saya gembira melihat hasil usaha pelbagai pihak bagi menjadikan Muzium Tentera Darat sebagai lokasi penting memaparkan bekas PTD terdahulu yang pernah berkhidmat.

Perasmian Galeri Panglima Tentera Darat  di Muzium Tentera Darat. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Perasmian Galeri Panglima Tentera Darat di Muzium Tentera Darat. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

"Terima kasih kepada pihak yang terbabit bagi menjadikan galeri ini sebagai satu tempat kunjungan orang ramai dan mereka boleh melihat perbezaannya mengikut zaman," katanya.

Bekas PTD ke 14, Jeneral (Bersara) Ismail Hassan, turut meluahkan rasa gembira susulan kewujudan galeri khusus bagi mengingati mantan Panglima Tentera Darat.

"Hari ini saya datang bersama anak saya yang mana majlis ini khusus untuk meraikan bekas Panglima Tentera Darat sejak yang pertama hingga yang ke 27.

"Banyak kenangan sepanjang kami memegang jawatan ini dan sampai masanya ia diabadikan dalam satu galeri untuk tatapan umum khususnya generasi baru," katanya.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, galeri ini akan terus diadakan selagi jawatan itu ada untuk dipamerkan kepada orang ramai.

"Mereka boleh datang ke sini dan melihat pelbagai lain yang bersejarah disamping galeri PTD dari yang pertama hingga ke generasi seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 5:49 PM