ZAMROSE (dua kiri) ketika hadir pada perasmian Galeri Panglima Tentera Darat  di Muzium Tentera Darat. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
ZAMROSE (dua kiri) ketika hadir pada perasmian Galeri Panglima Tentera Darat di Muzium Tentera Darat. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
BERNAMA

Port Dickson: Tentera Darat Malaysia (TDM) tidak akan sesekali berkompromi terhadap aktiviti buli dalam kalangan anggotanya, kata Panglima Tentera Darat (PTD) Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Beliau berkata, siasatan menyeluruh akan dilaksanakan dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut termasuk diberhentikan perkhidmatan mereka dalam TDM secara serta-merta.

"Tentera Darat biar saya maklumkan di sini, kalau betul kamu ditangkap menganiaya dan membuli anggota-anggota, jika disiasat serta didapati bersalah, akan diberhentikan serta-merta, secepat mungkin.

"Itu pendirian saya, tidak perlu proses (di) Mahkamah Tentera, akan (terus) beri hukuman, bentuk hukuman pula yang bukannya boleh dirujuk di Mahkamah Tentera, lepas itu akan diberhentikan, kalau tak yakin cubalah, memang saya akan buat," katanya kepada pemberita selepas melawat Galeri PTD di Muzium Tentera Darat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tangkap layar mesej seorang individu yang dimuat naik melalui Twitter, mendakwa adiknya iaitu seorang anggota tentera yang tinggal di dalam kem bujang dipukul dan dibuli sekumpulan anggota (tentera) senior, baru-baru ini.

Pada 2 Dis lalu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan menggesa individu yang membuat dakwaan itu tampil memberikan maklumat supaya siasatan menyeluruh berhubung perkara itu dapat dibuat dengan identiti individu (pemberi maklumat) terbabit juga akan dilindungi.

"(Mengenai kes itu) saya dapat maklumat kata adiknya dibuli, tetapi saya akan bertindak hanya apabila dapat butiran terperinci sebab dia pun tak jelaskan, adik dia dari mana, unit mana, tentera laut, darat atau udara, macam mana nak siasat. Saya difahamkan kes telah diambil alih Kementerian Pertahanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 3:26 PM