Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Tiada kompromi dan tindakan buang kerja akan diambil terhadap anggota tentera yang terbabit dengan salah laku buli dan dera.

Perkara itu ditegaskan Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain sebagai amaran bagi mengelakkan gejala itu menular di dalam pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Beliau berkata siasatan menyeluruh akan dilaksanakan dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan itu termasuk diberhentikan perkhidmatan mereka dalam TDM secara serta-merta.

"Kalau betul kamu ditangkap menganiaya dan membuli anggota (TDM) serta didapati bersalah, kamu akan diberhentikan serta-merta.

"Itu pendirian saya, tidak perlu proses kes Mahkamah Tentera, terus beri hukuman dan diberhentikan. Kalau tak yakin cubalah, memang saya akan buat," katanya selepas melawat Galeri PTD di Muzium Tentera Darat di sini, tadi.

Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain (kanan) bergambar bersama Panglima Tentera Darat ke-13, Jeneral Tan Sri (Dr.) Borhan Ahmad (kiri) pada perasmian Galeri Panglima Tentera Darat  di Muzium Tentera Darat. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain (kanan) bergambar bersama Panglima Tentera Darat ke-13, Jeneral Tan Sri (Dr.) Borhan Ahmad (kiri) pada perasmian Galeri Panglima Tentera Darat di Muzium Tentera Darat. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu viral seorang individu mendakwa adiknya seorang anggota tentera yang tinggal di dalam kem bujang dipukul dan dibuli sekumpulan anggota (tentera) senior, baru-baru ini.

Bagaimanapun pada 2 Disember lalu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan menggesa individu yang membuat dakwaan itu tampil memberikan maklumat supaya siasatan menyeluruh berhubung perkara itu dapat dibuat dengan identiti individu (pemberi maklumat) terbabit juga akan dilindungi.

"(Mengenai kes itu) saya dapat maklumat kata adiknya dibuli, tetapi saya akan bertindak hanya apabila dapat butiran terperinci sebab dia pun tak jelaskan, adik dia dari mana, unit mana, tentera laut, darat atau udara, macam mana nak siasat. Saya difahamkan kes telah diambil alih Kementerian Pertahanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 4:32 PM