Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Tentera Darat menambah 160 anggota lagi bagi membantu penugasan Op Penawar di Sabah bermula semalam.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, kekuatan sedia ada melebihi 2,000 anggota yang diaturgerak mengikut operasi di Sabah.

"Antara operasi yang dilaksanakan adalah Op Pasir utara dan selatan, Op Pesisir Pantai, Op Balasah dan Op Penawar.

"Keberkesanan operasi dibantu dengan aturgerak aset tentera antaranya Gempita dari pasukan Mekanize dan Helikopter dari Pasukan Udara Tentera Darat," katanya ketika sidang media selepas Perbarisan Sempena 100 Hari Pemerintahan Panglima Tentera Darat ke-28 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, tadi.

Katanya, ancaman keselamatan sentiasa ada terutamanya di persempadanan daratan negara.

 Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain (dua dari kanan) ketika memeriksa perbarisan dalam Perbarisan Sempena 100 Hari Pemerintahan Panglima Tentera Darat Ke-28 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA). FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain (dua dari kanan) ketika memeriksa perbarisan dalam Perbarisan Sempena 100 Hari Pemerintahan Panglima Tentera Darat Ke-28 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA). FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

"Aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) masih berlaku namun Op Benteng dilaksanakan khusus bagi mengurangkan aktiviti itu.

"Selain tentera, ada banyak agensi yang menjaga perairan kita dari dicerobohi. Kawalan persempadanan daratan negara akan terus diperkukuhkan dengan tumpuan terhadap beberapa kawasan 'hotspot' pendaratan PATI," katanya.

Zamrose berkata, Tentera Darat sentiasa bersiap siaga sempena hari pengundian di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hari ini.

Sementara itu, perbarisan statik sempena pemerintah 100 hari PTD membabitkan 109 pegawai dan 827 anggota lain-lain pangkat diketuai Panglima Briged Pertama Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Anuar Abdul Wahab.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 6:04 PM