WONG Soon Koh. FOTO NSTP
WONG Soon Koh. FOTO NSTP
Mohd Roji Kawi


Sibu: Parti Sarawak Bersatu (PSB) hari ini mengesahkan akan meletakkan calon di 70 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12).

Sebelum ini, parti pembangkang tempatan Sarawak itu mengumumkan akan bertanding di semua 82 kawasan.

Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, langkah mengurangkan calon itu diambil bagi membolehkan mereka memberi tumpuan lebih kepada kerusi yang berpotensi untuk dimenangi.

"Kami bertanding hanya di 70 kawasan, bukan disebabkan kita tidak mempunyai calon berkualiti yang mencukupi.

"Tetapi ini adalah langkah kami bagi memastikan lebih fokus terhadap kerusi berpotensi untuk dimenangi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Wong yang akan mempertahan kerusi Bawang Assan yang disandangnya sejak 1991 berkata, 10 daripada calon PSB itu adalah wanita.

Selain Bawang Assan, kerusi Dudong turut menjadi perhatian pada PRN-12 apabila Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mencabar calon PSB, Wong Hie Pieng, di kawasan itu.

Tiga lagi calon PSB di kawasan Sibu ialah Dr Low Chong Nguan (Pelawan), Andrew Ting (Bukit Assek) dan Intanurazean Wan Sapuan Daud (Nangka).

Selain itu, PSB turut menampilkan empat bekas anggota Kabinet Persekutuan bagi meraih sokongan pengundi 18 Disember ini.

Mereka ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun yang akan bertanding di Tamin dan bekas Menteri Kerja Raya, Baru Bian yang akan mempertahankan kerusi Ba'kelalan.

Dua lagi ialah bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Dr Tikie Lafe (Tasik Biru) dan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat (Balai Ringin).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 5:32 PM