Wong Soon Koh bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Majlis Tertinggi PSB di Sibu, hari ini. FOTO MELVIN JONI
Wong Soon Koh bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Majlis Tertinggi PSB di Sibu, hari ini. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Sibu: Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Wong Soon Koh mengesahkan akan bertanding di kerusi Parlimen Sibu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bawang Assan berkata, keputusan itu bagi memenuhi hasrat parti yang mahukannya bertanding di kerusi disandang Oscar Ling daripada Parti Tindakan Demokratik (Dap) itu.

"Mereka (ahli parti) mahu saya bertanding...mereka kata sebagai presiden, saya harus bertanding.

"Saya tiada pilihan selain mengetuai perjuangan PSB ke Parlimen walaupun saya sudah agak tua untuk itu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Majlis Tertinggi PSB, di sini hari ini.

Beliau berkata, PSB mungkin tidak bertanding di kerusi Parlimen Lanang bagi memberi peluang kepada calon daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) untuk bertanding di kerusi berkenaan yang disandang wakil Dap, Alice Lau.

Sementara itu, Timbalan Presiden PSB Dr Johnical Rayong Ngipa berkata pencalonan Soon Koh mendapat sokongan sebulat suara ahli majlis tertinggi parti.

"Datuk Seri (Soon Koh) adalah calon parti kami yang sudah disahkan untuk Parlimen Sibu pada PRU-15 akan datang," katanya yang juga Adun Engkilili.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 4:43 PM