Mohd Roji Kawi

Kuching: DAP Sarawak hari ini mengumumkan 18 daripada 26 calon yang akan bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12), 18 Disember depan.

Senarai itu diumumkan Pengerusinya Chong Chieng Jen di ibu pejabat parti itu di Padungan di sini.

Chong berkata, lapan lagi kawasan yang bakal ditandingi akan diumumkan kemudian dengan enam kawasan di Kuching dan dua di Sibu.

"Alasan mengapa saya tidak mengumumkan senarai enam calon di kawasan Kuching sekarang ialah kerana ia strategi parti.

"Kami menunggu Gabungan Parti Sarawak (GPS) khususnya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mengesahkan calon mereka di Pending, Padungan, Kota Sentosa, Batu Kawa, Batu Kitang dan Stakan, barulah kami umumkan calon DAP," katanya.

Daripada enam kawasan terbabit, dua disandang DAP iaitu Pending menerusi Violet Yong dan Kota Sentosa yang disandang Chieng Jen, manakala Padungan diwakili BEBAS selepas penyandang, Wong Kin Wei bertindak keluar dari DAP pada 26 Julai 2020.

Mengenai Dudong dan Bawang Assan yang belum diumumkan, Chong berkata, pihaknya masih dalam rundingan untuk bekerjasama dengan parti pembangkang tempatan iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB).

CHONG Chieng Jen (tengah) pada sidang media selepas sesi memperkenalkan calon yang mewakili DAP dalam PRN Sarawak, di Ibu Pejabat Parti DAP, Kuching. FOTO Nadim Bokhari
CHONG Chieng Jen (tengah) pada sidang media selepas sesi memperkenalkan calon yang mewakili DAP dalam PRN Sarawak, di Ibu Pejabat Parti DAP, Kuching. FOTO Nadim Bokhari

Ketika ini dua kerusi itu disandang PSB menerusi Presidennya, Datuk Seri Wong Soon Koh di Bawang Assan dan Datuk Tiong Thai King di Dudong.

"Kami masih belum mencapai kata sepakat dengan PSB dan rundingan masih diteruskan," katanya.

Sementara itu, dalam senarai calon yang diumumkan hari ini, dua penyandang dikekalkan iaitu Irene Mary Chang Oi Ling yang akan mempertahankan kerusi Bukit Assek dan David Wong Kee Woan di Pelawan.

Seorang lagi penyandang bagi kerusi Tanjung Batu iaitu Chiew Chin Sing tidak disenaraikan kerana beliau mengambil keputusan untuk berundur dan tempatnya akan diganti anak, Tony Chiew.

Calon lain yang diumumkan hari ini ialah Granda Aing bagi kerusi Tasik Biru, Chang Hong Siong (Mambong), Laerry Jabong (Kedup), Brolin Nicholsion Benedict Achung (Bukit Semuja), Leon Jimat Donald (Simanggang) dan Philip Wong Pak Min (Repok).

Turut tersenarai Yong Siew Wei (Meradong), Solomon Kumbong (Pelagus), Joseph Jingut (Bukit Goram), Kenneth Lagong (Baleh), John Bryan (Kemena), Tonny Ung (Samalaju), Peter Hee Leh Keng (Piasau), Alan Ling Sie Kiong (Pujut) dan Marcus Hugo (Senadin).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 3:22 PM