Pemandangan udara bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak dan Jambatan Darul Hana. FOTO AIZUDDIN SAAD
Pemandangan udara bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak dan Jambatan Darul Hana. FOTO AIZUDDIN SAAD
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuching: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 menyaksikan dua wanita menjadi calon paling muda yang bertanding bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN Batu Lintang dan Nangka.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertaruhkan Cherishe Ng, 24, bagi merebut kerusi di DUN Batu Lintang yang sebelum ini disandang wakil Parti Sarawak Bersatu (PSB), See Chee How.

Perebutan kerusi DUN Batu Lintang menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan Cherishe ditentang penyandang, Chee How serta calon dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) Sih Hua Tong; Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Alex Leong.

Seorang lagi wanita yang menjadi calon paling muda pada PRN kali ini adalah Olivia Lim Wen Sia, 24, yang mewakili PBK bagi merebut kerusi di DUN Nangka.

Olivia ditentang oleh calon dari GPS, Dr Annuar Rapaee yang juga penyandang kerusi DUN berkenaan serta calon dari PSB, Intanurazean Wan Sapuan.

Sementara itu, calon paling tua adalah Pengerusi PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh berusia 79 tahun yang bertanding di DUN Bawang Assan.

Selaku penyandang selama enam penggal bermula 1991, beliau menerima tentangan daripada empat calon lain dari PBK, Michelle Ling Shyan Mih; Amy Lau Bik Yeing (DAP); Robert Lau Hui Yew (Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Rivky Enteri (Bebas).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 5:43 PM