Yahaya (dua dari kanan) ketika menyempurnakan Program Derma Darah Bomba Prihatin Peringkat Negeri Johor di Hotel KSL City, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Yahaya (dua dari kanan) ketika menyempurnakan Program Derma Darah Bomba Prihatin Peringkat Negeri Johor di Hotel KSL City, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menasihati orang ramai supaya berwaspada ketika melakukan sebarang aktiviti air ketika musim tengkujuh.

Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata, sejak Januari lalu hingga kini, sebanyak 19 kes lemas dilaporkan dengan sembilan kes daripadanya membabitkan kematian.

Katanya, kawasan pantai tumpuan yang diberi perhatian pihaknya khususnya di Pantai Batu Layar (Kota Tinggi), Pantai Punggai (Kota Tinggi), di perairan Desaru dan Mersing.

"Kawasan yang dikenal pasti ini juga sudah dipasang tanda amaran, selain lokasi tumpuan awam seperti di Tasik Seri Alam, Pasir Gudang, susulan berlaku satu kes mati lemas berikutan tebing yang licin juga terdedah kepada bahaya sekiranya tergelincir ke dalam tasik.

"Pada masa sama, anggota dan aset JBPM negeri juga bersiap sedia bagi menghadapi kejadian banjir yang sering kali berlaku pada musim tengkujuh.

"Tahun ini, penambahan tiga aset iaitu bot ringan bersedia digerakkan sekiranya berlaku kejadian banjir yang mana ia ditempatkan di Kluang, Skudai dan Iskandar Puteri," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Derma Darah Bomba Prihatin Peringkat Johor, hari ini.

Beliau berkata, orang awam juga perlu ambil maklum keadaan cuaca, selain mengenal pasti kawasan yang sering dilanda banjir dan jalan terputus supaya tidak terperangkap.

#kw bomba, nasihat, aktiviti, air, banjir, Johor Bahru

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 5:26 PM