Nurul Amanina Suhaini


SERAMAI 2,228 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor sedia mengoptimumkan tenaga bagi menghadapi musim banjir di negeri ini.

Jumlah itu termasuk anggota dan pegawai bomba bantuan serta ahli pasukan bomba sukarela di seluruh negeri.

Pengarah JBPM Johor Datuk Yahaya Madis berkata, pihaknya turut memastikan 63 bot penyelamat dan 148 kenderaan utiliti yang bakal digunakan berada dalam keadaan baik.

Katanya, ia bukan sahaja digunakan untuk menyelamatkan mangsa, malah sebagai pengangkutan untuk memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) ditetapkan.

“Selain persediaan anggota dan peralatan, JBPM Johor meminta 29 balai bomba dan penyelamat di 10 daerah di seluruh negeri ini memantau kawasan panas seperti Batu Pahat, Tangkak, Kota Tinggi dan Mersing terutama kawasan kampung serta pedalaman FELDA.

“Pemantauan ini bukan sekadar membuat rondaan, malah terus beroperasi untuk memindahkan mangsa ke PPS sekiranya keadaan memerlukan.

“Kami (JBPM Johor) mendapat sokongan dan kerjasama kerajaan negeri serta agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pengurusan hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat pemantauan banjir dari udara di sekitar daerah Mersing dan Endau menggunakan helikopter jenis MI17 yang bermula dan berakhir di Padang Terbang Mersing, hari ini.

Turut hadir, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Johor Mohd Shukor Fadzil.

Terdahulu, seramai 31 pegawai JBPM Johor, Melaka, dan Negeri Sembilan menyertai Kursus Latihan Pengukuhan MUST Team Zon Selatan.

Kursus diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Pangkalan Subang, Zulkifli Ali itu dijalankan selama 21 hari bermula 2 November lalu menerusi tiga fasa latihan iaitu pengenalan, ikhtiar hidup dan latihan pesawat.

Yahaya berkata, pihaknya memilih lokasi itu kerana kawasan berkenaan mengalami panas hampir sepanjang tahun, namun sering berlaku banjir hingga terputus jalan utama akibat musim tengkujuh.

Katanya, bomba bersedia memberikan bantuan pengangkutan bukan sahaja terhadap mangsa, malah untuk mengagihkan bantuan kepada mangsa yang terputus hubungan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 4:46 PM