Pegawai Bomba Bantuan Safety Water And Rescue Team (PBB SWART) memantau keadaan ombak dan hakisan semasa tinjauan menjelang musim terkujuh di Pantai Tanjung Gelam, Batu Rakit. FOTO GHAZALI KORI
Pegawai Bomba Bantuan Safety Water And Rescue Team (PBB SWART) memantau keadaan ombak dan hakisan semasa tinjauan menjelang musim terkujuh di Pantai Tanjung Gelam, Batu Rakit. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Seramai 12 individu terdiri daripada keluarga nelayan dilantik menjadi Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Safety Waters and Rescue Team (SWART) bagi melakukan pemantauan di kawasan pantai sepanjang musim tengkujuh.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, enam PBB SWART ditempatkan di pantai sekitar Kuala Nerus manakala selebihnya ditempatkan di Dungun.

Beliau berkata, tugas utama mereka adalah membuat rondaan dan pemantauan berterusan sepanjang musim tengkujuh yang bermula bulan lalu hingga Mac tahun depan.

"Mereka menjadi anggota perintis di Terengganu dengan peranan sebagai barisan hadapan khususnya dalam mengurangkan kes mangsa lemas di kawasan berisiko ketika musim tengkujuh.

"Antara kepakaran dimiliki anggota PBB SWART adalah menyelamat di air, sekali gus dapat membantu bomba bertindak lebih awal menyelamatkan mangsa lemas di lokasi berisiko.

"Selain pemantauan, mereka akan menasihati penduduk dan pengunjung di pantai sebagai peringatan bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya selepas membuat pemantauan di Pantai Tanjung Gelam di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin melancarkan pasukan perintis PBB SWART secara maya dengan kumpulan pertama seramai 23 anggota daripada Terengganu dan Kelantan menjalani latihan intensif di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur di Wakaf Tapai, Marang.

Sementara itu, Mohd Amirul Amin Mat Shafie, 19, berkata, dia bersedia menyumbang kepakaran dan kemahiran apabila diperlukan.

"Sebagai anak nelayan, saya sering mengikut ayah ke laut dan memang memiliki kemahiran asas berenang dan bertahan ketika situasi kecemasan.

"Banyak benda baharu saya pelajari sepanjang menyertai kursus ini dan ia boleh dipraktikkan sekiranya berlaku situasi cemas atau lemas.

"Saya seronok apabila terpilih menjadi antara perintis PBB SWART kerana selain dapat menambah pendapatan ketika musim tengkujuh, ia menjadi jambatan untuk saya merealisasikan impian untuk menjadi pegawai bomba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 3:23 PM