Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Impian 38 keluarga miskin tegar yang sebelum ini tinggal menyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (PA DBKL) untuk memiliki kediaman sendiri tercapai apabila terpilih sebagai penerima bantuan hasil insiatif Baiti Jannati Keluarga Malaysia.

Ini bermakna penerima terbabit tidak perlu lagi membayar sewa bulanan kepada DBKL dan unit rumah didiami turut dibaik pulih serta dilengkapi dengan barangan elektrik asas mengikut keperluan semasa keluarga miskin tegar terbabit.

Salah seorang penerima, Rosdi Osman, 47, yang menetap di PPR Pantai Ria, Pantai Dalam, di sini bersyukur kerana doanya untuk memiliki rumah sendiri termakbul.

"Syukur Alhamdulillah, terima kasih kepada Datuk Bandar. Empat tahun saya menunggu saat ini.

"Saya tinggal bersama isteri dan turut menjaga dua anak yang mempunyai masalah percakapan dan seorang lagi menghidap penyakit jantung berlubang.

"Ikutkan, saya memang tidak mampu beli kediaman sendiri kerana bekerja sebagai buruh kasar sahaja manakala isteri suri rumah tetapi ini mungkin rezeki anak istimewa saya," katanya ketika ditemui selepas menerima replika kunci unit kediaman yang disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Hadir sama, Ketua Setiausaha (KSU) KWP Datuk Seri Rosida Jaafar, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Seri Hasan Ariffin dan Ketua Pegawai Runcit TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Inisiatif Baiti Jannati Keluarga Malaysia adalah kerjasama strategik antara Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan TNB.

Ia bertujuan membantu penyewa miskin tegar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta Perumahan Awam DBKL (PA DBKL) memiliki rumah sendiri yang kondusif tanpa perlu membayar sewa bulanan kepada DBKL.

Shahidan (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci rumah kepada warga emas OKU, Yong Kam Hong dan Rohaya Mat Hua sambil diperhatikan KSU Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar (dua dari kiri) dan Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin (empat dari kiri) ketika Program Baiti Jannati Keluarga Malaysia di Pusat Komuniti Beringin, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Shahidan (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci rumah kepada warga emas OKU, Yong Kam Hong dan Rohaya Mat Hua sambil diperhatikan KSU Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar (dua dari kiri) dan Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin (empat dari kiri) ketika Program Baiti Jannati Keluarga Malaysia di Pusat Komuniti Beringin, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Menerusi inisiatif itu, TNB memberikan peruntukan sebanyak RM1.5 juta wang zakat untuk dimanfaatkan kepada 30 keluarga Islam miskin tegar dan sumbangan YWP sebanyak RM400,000 kepada lapan penyewa miskin tegar bukan Islam di PPR dan PA DBKL untuk memiliki unit kediaman sendiri.

Seorang lagi penerima, Aida Effa Akhir Shah, 38, dari PPR Kerinchi turut terharu dengan peluang diberikan kepadanya dan keluarga untuk mendiami kediaman sendiri.

"Saya menetap di rumah sekarang sejak 2008 bersama suami dan 10 anak kami yang berusia tujuh hingga 18 tahun.

"Alhamdulillah, tiada yang tidur dekat ruang tamu memandangkan ada tiga bilik di dalam rumah.

"Suami bekerja sebagai pengawai keselamatan dengan pendapatan RM2,000 saja jadi apabila dapat tahu terpilih sebagai penerima, saya sekeluarga amat senang hati dan berterima kasih atas peluang diberikan untuk kami miliki rumah sendiri," katanya.

Sementara itu, ibu lima anak, Rohaya Mat, 58, dari PPR Kampung Baru Air Panas, di sini, menghargai peluang diberikan kepadanya untuk memiliki kediaman sendiri selepas sekian lama tinggal menyewa.

"Saya menghidap penyakit buah pinggang sejak enam tahun lalu selain diabetes juga darah tinggi malah kini mengalami masalah penglihatan.

"Sebelum ini memang harap bantuan pihak zakat saja untuk bayarkan sewa rumah.

"Alhamdulillah, seronok sangat apabila terpilih sebagai salah seorang penerima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 4:05 PM